http://puspanitalppkl.blogspot.com/

Isnin, 28 Mei 2012

PUSPANITA LPPKL DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2012




Bertemakan “Buku Dunia Tanpa Sempadan” Pesta Buku Antarabangsa kali ke 31 tahun ini berlangsung mulai 27 April 2012 hingga 6 Mei 2012 di PWTC Kuala Lumpur.  PUSPANITA LPP tidak melepaskan peluang yang ada dan telah mengatur dua kunjungan disertai oleh ahli-ahli yang berminat.
Sebaik melangkah masuk ke Dewan pameran , suasana begitu sesak dengan pengunjung dan mata menjadi rambang melihat susunan beranika buku di beratus gerai pameran dari syarikat-syarikat penerbitan yang mengambil bahagian. Kami berpecah mengikut minat masing-masing maklumlah yang muda-muda minat pada novel, ada yang minat buku resepi, motivasi dan sebagainya.
Di antara gerai pameran yang mendapat sambutan hangat di kalangan pengunjung pastinya Syarikat Penerbitan Karangkraf yang pernah dilawati oleh PUSPANITA pada tahun lalu. Rasa bangga melihat syarikat penerbitan bumiputra yang ulung di tanah air ini semakin berkembang maju dengan bahan-bahan penerbitan yang menepati citarasa semasa untuk semua peringkat pembaca. Di satu sudut dewan pameran Karangkraf ramai pengunjung mengerumuni satu acara yang sedang berlangsung. Rupa-rupanya pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Kazim Elias sedang melancarkan buku hasil tulisannya Tuhan Sedang Menguji Kita yang diterbitkan oleh Karangkraf. Pihak karangkraf diwakili oleh Dato’ Abd. Jalil Ali, seorang wartawan veteran yang terkenal dengan tulisan bertemakan kemasyarakatan dan kini merupakan Penasihat Eksekutif Editorial Karangkraf. Setelah membeli buku karya Ustaz Kazim, kami berpeluang bergambar dan mendapatkan tandatangan beliau. Harga buku-buku yang dijual di Pesta Buku amat berpatutan dan sangat berbaloi mengunjunginya.

PUSPANITA LPP KE PAMERAN RAJA KITA


Biro Penerbitan dan Seranta PUSPANITA LPP telah mengatur lawatan ke Pameran Raja Kita pada 27 April 2012 dan 4 Mei 2012. Pameran tersebut diadakan bersempena dengan Pertabalan Yang Di Pertuan Agong Ke 14, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertempat di Istana Negara Lama. Pameran tersebut memaparkan sejarah ringkas riwayat hidup baginda, antaranya barangan dan koleksi peribadi, alat kebesaran dan sebagainya.
Pameran diadakan secara percuma selama dua bulan dan akan berakhir pada 16 Jun 2012. Pengunjung yang melawat ke Balai Rong Seri dikehendaki menanggalkan kasut dan membayar RM3.00 sekiranya membawa kamera. Para pengunjung boleh mengabadikan nama di Buku Pelawat yang disediakan. Memandangkan ada kalangan ahli yang tidak dapat menyertai lawatan yang telah diadakan, InsyaAllah pihak Biro akan mengatur lagi lawatan sebelum tempoh pameran berakhir


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...