Bertemakan “Buku Dunia Tanpa Sempadan” Pesta Buku Antarabangsa kali ke 31 tahun ini berlangsung mulai 27 April 2012 hingga 6 Mei 2012 di PWTC Kuala Lumpur. PUSPANITA LPP tidak melepaskan peluang yang ada dan telah mengatur dua kunjungan disertai oleh ahli-ahli yang berminat.
Sebaik melangkah masuk ke Dewan pameran , suasana begitu sesak dengan pengunjung dan mata menjadi rambang melihat susunan beranika buku di beratus gerai pameran dari syarikat-syarikat penerbitan yang mengambil bahagian. Kami berpecah mengikut minat masing-masing maklumlah yang muda-muda minat pada novel, ada yang minat buku resepi, motivasi dan sebagainya.
Di antara gerai pameran yang mendapat sambutan hangat di kalangan pengunjung pastinya Syarikat Penerbitan Karangkraf yang pernah dilawati oleh PUSPANITA pada tahun lalu. Rasa bangga melihat syarikat penerbitan bumiputra yang ulung di tanah air ini semakin berkembang maju dengan bahan-bahan penerbitan yang menepati citarasa semasa untuk semua peringkat pembaca. Di satu sudut dewan pameran Karangkraf ramai pengunjung mengerumuni satu acara yang sedang berlangsung. Rupa-rupanya pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Kazim Elias sedang melancarkan buku hasil tulisannya Tuhan Sedang Menguji Kita yang diterbitkan oleh Karangkraf. Pihak karangkraf diwakili oleh Dato’ Abd. Jalil Ali, seorang wartawan veteran yang terkenal dengan tulisan bertemakan kemasyarakatan dan kini merupakan Penasihat Eksekutif Editorial Karangkraf. Setelah membeli buku karya Ustaz Kazim, kami berpeluang bergambar dan mendapatkan tandatangan beliau. Harga buku-buku yang dijual di Pesta Buku amat berpatutan dan sangat berbaloi mengunjunginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan